PENILAIAN KSSR DAN KSSM
METHODOLOGI PENILAIAN KSSR DAN KSSM
KSSR dan KSSM bukan digubal untuk berorientasikan peperiksaan tetapi penilaian
yang berterusan atau Pentaksiran Berasaskan Sekolah iaitu pentaksiran yang lebih
formatif ,dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan perkembangan danm
pencapaian murid. PBS merupakan satu pentaksiran yang bersifat holistik yang
mampu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor
(jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard
Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).
PBS dioptimumkan untuk mentaksir bidang akademik dan bukan akademik. PBS
memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran
formatif (pentaksiran yang dijalankan semasa proses pembelajaran berlangsung) dan
sumatif (pentaksiran yang dijalankan di akhir satu unit pembelaran) yang berasaskan
sekolah.
Komponen PBS dalam sistem pentaksiran kebangsaan merangkumi:
Pentaksiran Sekolah
Pentaksiran Sekolah (PS) dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor
oleh guru sekolah di sekolah. Contoh instrumen pentaksiran yang boleh digunakan
ialah lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai semak, laporan tugasan, tugasan
rumah dan ujian.
Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum
Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dilaksanakan di
peringkat sekolah dan ditadbir, direkod dan dilaporkan melalui penyertaan,
penglibatan dan pencapaian murid dalam aktiviti jasmani dan kesihatan, sukan dan
permainan, aktiviti kokurikulum dan aktiviti ekstra-kurikulum (contohnya penglibatan
sebagai ahli kumpulan marhaban yang dianjurkan oleh JK Surau tempat murid
tinggal dan aktiviti bermanfaat lain yang dianjurkan oleh pihak luar selain sekolah).
Pentaksiran Psikometrik
Pentaksiran Pkisometrik pula dilaksanakan di peringkat sekolah dan/atau pusat untuk
mengukur kebolehan (innate ability and acquired ability) semulajadi murid,
kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap
dan personaliti murid. Pentaksiran ini tidak berasaskan kurikulum.
Pentaksiran Pusat
Pentaksiran Pusat (PP) pula ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan dan skema pemarkahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran.